Wanita hadir atas nama Cinta dan kasih sayang. Cinta yang paling agung adalah Cinta daripada ALLAH. Kasih sayang yang tiada tandingan juga dianugerahkan-NYA kepada kaum wanita. Di sebalik pelbagai perintah yang diberikan kepada mereka, sebenarnya adalah tanda bahawa di situlah kasih sayang ALLAH.
Tiada yang sia-sia segala perintah diberikan kepada kaum wanita. Perintah yang memerlukan kepada kesabaran dalam ketaatan ketika melaksanakannya. Tapi, jangan dikatakan kaum wanita sebagai lemah sedangkan merekalah yang paling kuat kesabarannya. Contoh yang jelas dapat dilihat pada etika berpakaian. Menjadi bukti bahawa kaum wanita terlalu sabar jika dibandingkan lelaki. Kaum wanita perlu menutup aurat dengan sempurna. Mereka sabar kerana yakin bahawa ALLAH sentiasa bersama-sama mereka.
Kita bertanya, apakah perkara itu senang untuk dilakukan? Tidak! Semuanya memerlukan kesabaran dalam menjunjung ketaatan tersebut. Ia berbeza dengan kaum lelaki. Mereka tidak perlu memakai telekung, tidak perlu menutup rambut, tidak perlu memakai stoking dan pelbagai peraturan lagi. Tapi bagi kaum wanita, semuanya dilakukan dengan penuh sabar.
Bagi kaum wanita, apabila ALLAH uji dan mereka bersabar, maka kesabaran itu paling mulia. Bagi kaum Wanita, sehelai rambut pun tidak boleh diperlihatkan. Sedangkan bagi kaum lelaki, meskipun hendak menunaikan solat, mereka tidak diwajibkan memakai kopiah.
Tapi, ada juga yang merungut, bertanya mengapakah mereka dijadikan sebagai wanita? Mereka perlu bersalin, memasak dan menjaga anak. Tiada lain jawapannya selain ALLAH ingin meninggikan darjat mereka. Maka, seharusnya kaum wanita berasa bangga dan seronok menerima tanggungjawab itu.
Ada yang bertanya, apa tanda kasih sayang-NYA? Cuti!
Itulah jawapannya. Lelaki tidak pernah diberikan cuti dalam menunaikan solat. Sedangkan kaum wanita dianugerahkan-NYA dengan cuti dalam aspek solat. Itulah tanda kasih sayang ALLAH. Kaum wanita tidak perlu qada solat yang ditinggalkan ketika uzur. Tapi, ada pula yang bertanya, mengapa cuti solat tidak perlu diqada sedangkan puasa perlu diqada?
Jawapannya adalah kerana solat merupakan kefarduan yang dilakukan setiap hari manakala puasa pula dilakukan hanya setahun sekali. Ya, jelas kepada kita bahawa di sinilah letaknya kasih sayang ALLAH kepada kaum wanita. Mereka tidak perlu mengqadakan cuti solat yang telah diberikan.
Timbul beberapa persoalan apabila ada yang bertanya, sekiranya tidak dapat menunaikan solat dan puasa, maka rugilah pahala mereka. Tidak! Mereka sebenarnya tidak rugi. Masih terlalu banyak ruang pahala yang boleh mereka perolehi walaupun tidak dapat melakukan ibadat tersebut.
Ya, pengorbanan mereka melahirkan, menyusukan, menjaga anak-anak, memasak dan melayan suami sebenarnya menjanjikan pahala yang tiada tandingan. Di situlah ruang untuk mereka memperolehi pahala yang luas. Maka, bukankah itu tanda kasih sayang ALLAH begitu besar?
Tidakkah kita terfikir, ketika mereka berhempas pulas melahirkan anak, berapa banyak pahala yang dicatat untuk pengorbanan itu? Ketika mereka gigih dan sabar bangun pada tengah malam untuk menyusukan anak, bukankah kegigihan itu turut ditanda dengan pahala besar? Lihatlah betapa besarnya kesabaran kaum wanita ketika mereka sabar dan taat dalam melaksanakan ibadat?
Aduhai... bertuahnya menjadi wanita. Di sebalik kelemahan dan kelembutan terselit ketabahan yang luar biasa. Mereka cekal dalam kesabaran. Mereka gigih dalam ketabahan. Namun, ketika kita berbicara tentang keteguhan, kegigihan dan ketabahan kaum wanita dalam melaksanakan ibadat, tidak kurang juga yang tercicir dalam kesabaran itu. Hilangnya keyakinan bahawa kesabaran mereka akan diredhai dan dibantu ALLAH.
Mereka tidak sabar dalam melakukan ketaatan. Mereka hilang keyakinan terhadap pertolongan ALLAH. Maka, ada dalam kalangan mereka yang berasa bimbang apabila memakai tudung, mereka tidak akan mendapat pekerjaan. Apabila memakai tudung, mereka merasakan tidak akan memperolehi biasiswa. Apabila memakai tudung, mereka merasakan dunia seolah-olah tidak tenang. Mereka merasakan tidak up to date.
Ada juga muslimah yang memakai tudung di atas dasar ikut-ikutan. Maksudnya, bertutup di kepala, terdedah luas di bahagian tubuh badan. Bertudung tapi lehernya terdedah, bertudung tapi memakai baju ketat mengikut potongan badan dan pelbagai rekaan terkini lagi semata-mata di atas nama bertudung. Sedangkan apa yang penting ialah menutup aurat, bukannya menutup kepala!
Dan lama kelamaan, akibat tidak dapat bersabar, mereka akhirnya membuang tudung. Sudah berani mendedahkan aurat semata-mata kerana hilangnya kesabaran dan keyakinan. Dek tiadanya rasa sabar dalam melaksanakan ketaatan, mereka tidak dapat mempertahankan aurat yang wajib dipelihara. Keyakinan bahawa pertolongan-NYA sentiasa bersama bagaikan tiada.
Dubai wanita... yakinlah bahawa ALLAH sentiasa bersamamu. Perintah dan syariat-NYA adalah demi kasih sayang terhadapmu. Jangan... jangan sesekali tinggalkan suruhan-NYA. Sesungguhnya, ALLAH sayang padamu.
_Membebel panjang sikit malam ni 😂
No comments:
Post a Comment